BERITA SEMASA

Pelajar universiti maut jatuh dari tingkat 34 kondominium

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti maut dipercayai terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru di sini, malam tadi.

Difahamkan, mangsa yang berusia 18 tahun terjatuh ketika mahu mengambil pakaian di balkoni rumahnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, polis menerima laporan kejadian pada 8.17 malam.

Katanya, mayat remaja itu ditemukan di tingkat bawah bangunan setinggi 39 tingkat berkenaan.

“Hasil soal siasat dua saksi kejadian mendakwa remaja terbabit ingin mengambil sehelai baju-T yang terjatuh di kaki lima balkoni.

“Dia dikatakan bertindak memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni. Mangsa hilang keseimbangan dan terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayatnya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi kes tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button