POLITIK

Anwar mahu Melaka terus semarak semangat keterbukaan, kebersamaan

AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen untuk terus memerangi rasuah dan segala bentuk penyelewengan bagi memastikan kekayaan negara dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, amanah rakyat tidak seharusnya diperdagangkan demi kepentingan peribadi, sebaliknya perlu dipelihara bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik.

Menurutnya, ukuran sebenar kejayaan bukan sekadar pencapaian pembangunan, tetapi turut merangkumi keupayaan menyediakan pendidikan sempurna kepada anak-anak serta memastikan keluarga terbela daripada jerih payah kehidupan.

“Namun, ukuran sebenar kejayaan ialah apabila anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna, keluarga terbela daripada jerih payah kehidupan dan kekayaan negara mesti dinikmati semua.

“Sebab itu, saya akan terus tegas melawan rasuah dan segala bentuk penyelewengan, kerana amanah rakyat bukan untuk diperdagangkan demi kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas berkempen bersama masyarakat Paya Rumput bagi menyokong calon Pakatan Harapan (PH), DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Melaka mempunyai sejarah panjang sebagai pusat perdagangan dan titik pertemuan pelbagai bangsa serta peradaban.

Justeru, katanya, semangat keterbukaan, kebersamaan dan kemajuan yang menjadi sebahagian daripada sejarah negeri itu perlu terus disemarakkan dalam usaha membina masa depan Melaka dan negara.

Beliau berkata, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat merangkul kepelbagaian sebagai sumber kekuatan, bukannya menjadikannya alasan untuk berbalah dan berpecah.

Dalam dunia yang semakin bergolak, katanya, keamanan dan kestabilan yang dinikmati negara ketika ini merupakan nikmat besar yang perlu dipelihara.

Anwar berkata, beliau yakin Melaka mampu melangkah lebih jauh sekiranya rakyat terus berpegang kepada nilai kejujuran, muafakat dan tanggungjawab bersama.

“Yang kita perjuangkan bukan sekadar kejayaan hari ini, tetapi sebuah tatanan yang lebih bermaruah untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button