BERITA SEMASA

Pengorbanan anggota APMM tidak boleh disia-siakan, sindiket penyeludupan PATI mesti dibanteras – Anwar

KUALA LUMPUR – Pengorbanan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke perairan negara tidak boleh disia-siakan, manakala sindiket penyeludupan warga asing perlu dibanteras tanpa kompromi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang terkorban dalam insiden berkenaan.

“Saya dan Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga APMM yang terus berkhidmat mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Menurut Anwar, beliau amat terkesan dengan pemergian Allahyarham selain mengecam tindakan pihak yang mengancam keselamatan negara.

“Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini menjadi sia-sia. Seluruh pasukan penguatkuasaan mesti bertindak tegas tanpa kompromi terhadap cubaan menceroboh sempadan negara,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan bertekad mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing, termasuk mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan berkenaan.

Katanya, pihak yang mengkhianati kedaulatan negara perlu dibawa ke muka pengadilan, selain menegaskan keselamatan anggota penguat kuasa tidak boleh dipertaruhkan.

“Nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan,” tambahnya.

Dalam hantaran sama, beliau mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button