BERITA SEMASA

TVET 2.0 perkukuh kompetensi tenaga kerja hingga 2035

MELAKA – Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 menjadi antara tumpuan kerajaan dalam memperkukuh kompetensi tenaga kerja negara agar selari dengan keperluan industri dan perubahan teknologi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan TVET 2.0 serta cadangan pelaksanaan Indeks Kompetensi Nasional (NCI) antara perkara diberi perhatian dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.

Menurutnya, NCI dicadangkan bagi membantu kerajaan mengenal pasti jurang kemahiran, menilai tahap kompetensi tenaga kerja serta merancang latihan berdasarkan keperluan sebenar industri.

Beliau berkata, Majlis TVET Negara terus memainkan peranan penting dalam menyelaras hala tuju pembangunan TVET nasional bagi memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif kemahiran memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

“Alhamdulillah, Majlis TVET Negara terus menjadi antara platform utama yang menggerakkan dan menyelaras hala tuju TVET nasional supaya segala usaha pembangunan kemahiran benar-benar bergerak seiring dengan keperluan industri dan masa hadapan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Mesyuarat itu diadakan di UTeM, yang merupakan antara enam universiti teknikal utama dalam rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN).

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu TVET terus berkembang sebagai pilihan utama kerjaya, selain melahirkan tenaga kerja tempatan yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta ekonomi.

Usaha itu penting bagi memastikan pembangunan kemahiran negara terus relevan dengan keperluan industri, sekali gus menyediakan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran pekerjaan masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button