Pearly-Thinaah buru gelaran kedua Terbuka Perancis
PETALING JAYA – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, berpeluang meraih gelaran kedua Terbuka Perancis apabila bakal berdepan pasangan pilihan utama Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, pada aksi final, hari ini.
Pearly-Thinaah melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 21-17, 22-20 dalam aksi separuh akhir di Grand Arena Paris, semalam.
Bagaimanapun, cabaran getir menanti pasangan negara itu apabila rekod pertemuan mereka dengan Fukushima-Matsumoto seimbang 5-5, selain tewas dalam dua pertemuan di kejohanan Terbuka China dan India tahun ini.
Kejayaan menjuarai Terbuka Perancis juga membuka peluang buat Pearly-Thinaah mencipta sejarah sebagai beregu wanita Malaysia pertama memenangi dua gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 750 secara berturut-turut selepas muncul juara Terbuka Denmark minggu lalu.
Pearly berkata, kecintaannya terhadap badminton menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang, dengan tumpuan diberikan kepada permainan berbanding terlalu memikirkan keputusan perlawanan.
Menurutnya, pendekatan itu membantu beliau berusaha mendapatkan semula prestasi terbaik selepas berdepan masalah kecederaan dan keraguan terhadap kemampuan diri.
“Saya sangat mencintai badminton. Saya menikmati setiap detik ketika bermain dan setiap pukulan yang dilakukan.
“Apabila menikmati permainan, saya tidak terlalu memikirkan soal menang atau kalah. Saya hanya memikirkan bagaimana hendak bermain dalam setiap rali dan melakukan setiap pukulan,” memetil The Star online.
Sementara itu, Thinaah berkata, mereka sudah melalui perjalanan panjang dengan pelbagai halangan sejak menjuarai Terbuka Perancis pada 2022.
Beliau berkata, harapan tinggi peminat terhadap mereka kali ini dijadikan motivasi untuk terus memberikan aksi terbaik.
“Kami sudah melalui perjalanan yang panjang dan berdepan banyak halangan. Ketika itu, kami tidak menjangkakan mampu memenangi gelaran berkenaan.
“Namun, apabila kembali ke kejohanan ini, kami tahu ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap kami dan mahu menjadikan harapan itu sebagai motivasi untuk terus maju bersama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








