Premis sembelihan ayam tular tiada sijil halal – JAKIM
KUALA LUMPUR – Premis penyembelihan ayam yang menjadi perhatian susulan video tular mengenai persoalan pematuhan hukum syarak didapati tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pemeriksaan awal mendapati premis itu didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd., meskipun bekalan ayam hidup untuk aktiviti penyembelihan berkenaan diperoleh daripada syarikat itu.
Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati premis terbabit telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu berikutan pelanggaran aspek kesihatan.
“Sehubungan itu, JAKIM turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan berhubung status lesen premis dan entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam tersebut bagi melengkapkan penelitian serta tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Risikan awal dan pemeriksaan di lokasi dijalankan JAKIM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sirajuddin menegaskan, sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak dipandang serius oleh pihaknya.
“Pematuhan terhadap hukum syarak dalam proses penyembelihan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, JAKIM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikenal pasti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








