Kerajaan sasar lahirkan 20 harta intelek animasi bertaraf antarabangsa – Fahmi
KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan pembangunan 20 harta intelek (IP) animasi tempatan yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa menerusi sokongan berterusan kepada industri kreatif negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sektor animasi mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai antara produk eksport kreatif Malaysia, selain memperkukuh kedudukan negara sebagai hab animasi di rantau Asia Tenggara.
“Malaysia mempunyai lebih 5,000 animator dan syarikat animasi tempatan turut berjaya membawa pulang potensi pelaburan bernilai lebih RM250 juta selepas menyertai Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis baru-baru ini.
“Kita nampak animasi ini adalah satu bahan ataupun satu sektor dalam industri kreatif yang sangat berpotensi dan kita berhasrat untuk melahirkan 20 intellectual property yang mampu kita bangunkan dan kita bawa ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam siaran langsung program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.
Mengulas peruntukan lebih RM130 juta dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong sektor perfileman, animasi, muzik dan kandungan kreatif tempatan, Fahmi berkata, usaha memperkukuh industri itu perlu merangkumi pembangunan bakat serta keupayaan penerbitan dan pemasaran.
Menurutnya, Malaysia mempunyai pengarah, pengarah fotografi, pelakon dan penyunting yang berkemahiran, namun masih memerlukan lebih ramai penerbit yang mampu menguruskan aspek pembiayaan, penerbitan dan pemasaran karya secara berkesan.
“Kejayaan sesebuah filem bukan hanya diukur melalui pengiktirafan kritikal, malah turut bergantung pada prestasi komersialnya.
“Untuk pastikan kita mampu melakukan dua-dua, jadi kita nampak perlu disokong dan perlu dilahirkan lebih ramai penerbit.
“Perlu diberi sokongan supaya pemasaran dan penerbitan itu menjadi lebih baik,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan turut berharap pengecualian cukai hiburan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dapat merangsang kehadiran penonton ke pawagam dan meningkatkan sokongan terhadap filem tempatan.
Beliau berkata, pawagam masih mempunyai peranan penting dalam ekosistem hiburan walaupun tabiat penonton semakin berubah dengan perkembangan platform penstriman dan kandungan digital.
Jelasnya, kedua-dua medium berkenaan mempunyai fungsi tersendiri dalam memperluas capaian karya kreatif kepada penonton.
“Sinema, pawagam masih mempunyai fungsi. Biasanya kalau kita pergi ke pusat beli-belah, kita nak berehat seketika, kita pergi tengok wayang. Pada masa sama, telefon bimbit dan tablet pun memainkan peranan, ia menjadi sinema di dalam tangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin sokongan menerusi insentif, dana dan galakan kerajaan mampu membantu karya kreatif tempatan menembusi pasaran global, sekali gus memperkukuh daya saing industri berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






