TDM gagalkan cubaan seludup 2,450 karton rokok ke Indonesia
KUCHING – Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas 2,450 karton rokok bernilai RM83,300 dalam cubaan menyeludup barangan itu ke Indonesia menerusi Op Keris Parang di Serikin, awal pagi tadi.
Menurut Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), kegiatan itu dikesan kira-kira pukul 5 pagi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke laluan haram di sempadan Malaysia-Indonesia.
Kenderaan yang dipandu seorang lelaki warga tempatan itu ditutupi kanvas biru pada bahagian muatan belakang sebelum ditahan kira-kira 400 meter dari sempadan negara.
“Kenderaan mencurigakan itu ditutupi kanvas biru pada bahagian muatan belakang dan berjaya ditahan di laluan haram berkenaan, kira-kira 400 meter dari sempadan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan membawa pelbagai barangan terkawal dan barangan runcit tanpa dokumen perjalanan atau dokumen pengesahan muatan yang sah.
“Rampasan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM110,000, 2,450 karton rokok bernilai RM83,300, dua unit telefon bimbit bernilai RM800 dan RM700, serta sebuah beg silang bernilai RM50.
“Nilai keseluruhan rampasan RM194,850,” menurut kenyataan itu lagi.
Suspek bersama semua barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama, TDM memaklumkan rondaan dan kawalan keselamatan akan terus dipertingkat bagi memastikan sempadan negara kekal selamat daripada kegiatan jenayah rentas sempadan.
“TDM turut menyeru kepada mana-mana agensi atau individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti lintas batas secara haram untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pasukan yang beroperasi, agar aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibendung dengan lebih efektif,” menurut kenyataan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








