
Sumud Protocol rangka gerakan global perkukuh perjuangan Palestin
BANGI – Sumud Protocol diperkenalkan sebagai kerangka penyelarasan gerakan antarabangsa bagi memperkukuh perjuangan pembebasan Palestin menerusi penglibatan media, mahasiswa dan ahli politik merentas ideologi.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Datuk Sani Arabi berkata, usaha itu bertujuan memastikan solidariti terhadap rakyat Palestin diterjemahkan kepada tindakan lebih tersusun, bukan sekadar kecaman terhadap kekejaman rejim Zionis.
“Seramai 250 delegasi dari 43 negara berhimpun di Kuala Lumpur bagi membincangkan pendekatan baharu untuk menggerakkan sokongan global terhadap perjuangan berkenaan.
“Kita tahu apa yang berlaku di Gaza ini tidak harus kita tinggalkan hanya dalam bentuk kecaman.
“Jadi, apa yang dilakukan pada hari ini adalah satu kemuncak kepada susun atur baharu, yang mana 250 delegasi daripada 43 negara hadir berkampung di Kuala Lumpur untuk melihat bagaimana tindakan dan gelombang ini dapat diletakkan dalam satu kerangka yang kita namakan sebagai Sumud Protocol Framework,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Sumud Nusantara bersempena Sumud Global Congress 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, kerangka itu juga dirangka bagi memperkasakan peranan setiap kumpulan berdasarkan kekuatan masing-masing, termasuk media sebagai penggerak perjuangan melalui penyampaian maklumat, mahasiswa serta ahli politik daripada pelbagai parti.
“Gerakan ini meneruskan usaha yang digerakkan menerusi misi pada 2025, yang menurutnya berjaya meraih 1.5 bilion interaksi media sekali gus membantu meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai konflik di Palestin.
“Bagaimanapun, katanya, usaha itu perlu diteruskan memandangkan perkembangan di Gaza menunjukkan keperluan kepada tindakan lebih menyeluruh dan berterusan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sani berkata Malaysia berperanan sebagai platform penting bagi menyatukan gerakan pembebasan Palestin, selain menyediakan ruang kepada aktivis antarabangsa untuk meneruskan perjuangan tanpa rasa takut.
Beliau turut menyeru semua kementerian, ahli Parlimen dan masyarakat daripada pelbagai lapisan supaya menjadikan perjuangan Palestin sebagai agenda bersama negara.
“Maraton ini panjang, mungkin kita berehat sebentar, tapi jangan berputus asa kerana menang ataupun kalah, Palestin mesti bebas,” katanya.
Tambah beliau, perjuangan itu perlu diteruskan secara konsisten dengan menggembleng kekuatan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa sehingga matlamat pembebasan Palestin tercapai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



