BERITA SEMASAHIBURAN

Afiqah sebak wakili arwah Jalil Hamid di ASA 2026

KUALA LUMPUR – Kehilangan insan tersayang menjadi lebih menyentuh hati apabila anak perempuan pelakon veteran Allahyarham Jalil Hamid, Afiqah, bakal menghadiri Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 bagi mewakili bapanya yang tercalon buat kali terakhir.

Menerusi perkongsian di media sosial, Afiqah meluahkan perasaan sebak mengenangkan perubahan peranannya daripada seorang anak yang sentiasa memberikan sokongan kepada bapanya kepada individu yang akan membawa nama Allahyarham di acara berprestij itu.

Menurutnya, dia selama ini tidak pernah ketinggalan meraikan kejayaan bapanya setiap kali memenangi anugerah, selain tetap memberikan sokongan ketika Allahyarham tidak berjaya membawa pulang kemenangan.

Bagaimanapun, Afiqah tidak pernah menyangka dirinya akan berada di pentas penghargaan seni itu untuk mewakili bapanya selepas pemergian insan yang amat disayanginya.

Dia turut mengakui sumbangan serta pengalaman Allahyarham sepanjang hampir 47 tahun dalam industri seni merupakan sesuatu yang sukar untuk dibandingkan dengan dirinya.

“Namun, saya adalah anak perempuan ayah dan saya akan berada di sana,” luahnya menerusi hantaran tersebut.

Afiqah turut menegaskan komitmennya untuk menghadiri majlis berkenaan bagi membawa nama bapanya, selain menyifatkan kehadirannya sebagai tanda kasih dan penghargaan terhadap segala pengorbanan Allahyarham.

Untuk rekod, Jalil dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik pada ASA 2026 menerusi lakonannya dalam drama Kalam Murabbi dan Pimpinku Ke Jannah.

Terdahulu, pelakon veteran itu dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di kediamannya kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 4 Mei lalu.

Pemergian Allahyarham meninggalkan kenangan tersendiri buat keluarga serta peminat yang mengikuti perjalanan seninya sepanjang berada dalam industri hiburan tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button