AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Gandar belakang tercabut: Chery panggil semula Omoda 5 Varian C dan H

KUALA LUMPUR – Chery Auto Malaysia akan melaksanakan Kempen Panggil Semula bagi kenderaan model OMODA 5 yang terjejas, membabitkan varian C dan H susulan insiden yang melibatkan model berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Chery Auto Malaysia berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu siasatan berhubung insiden itu sejak ia bermula.

Menurut syarikat itu, kempen berkenaan bertujuan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat serta menggantikan komponen yang terkesan sekiranya perlu.

“Pemilik kenderaan boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam kempen itu menerusi semakan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) di laman web rasmi Chery,” katanya hari ini.

Chery
Gambar tular gandar milik sebuah kenderaan Chery Omoda yang tercabut di Johor Bahru minggu lalu.

Chery turut memaklumkan pemeriksaan menyeluruh serta sebarang tindakan susulan yang diperlukan akan dilaksanakan tanpa sebarang kos kepada pelanggan.

Selain itu katanya, pemilik OMODA 5 yang ingin mendapatkan kepastian mengenai keadaan kenderaan mereka digalakkan mengunjungi pusat servis sah Chery untuk mendapatkan bantuan daripada pasukan teknikal syarikat.

Bagaimanapun, Chery menjelaskan semua model yang sedang dikeluarkan ketika ini tidak terjejas oleh kempen panggil semula berkenaan.

Dalam pada itu, Chery Auto Malaysia memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan menegaskan keselamatan serta kesejahteraan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi syarikat.

Katanya, sebarang pertanyaan mengenai kempen berkenaan boleh diajukan kepada Chery Careline menerusi talian 03-9388 0888.

Terdahulu JPJ menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval – VTA) bagi model Chery Omoda 5 susulan insiden tular membabitkan kenderaan itu di Johor Bahru minggu lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal bagi membolehkan siasatan teknikal dijalankan dan risiko keselamatan dikenal pasti dengan lebih tepat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button