BERITA SEMASA

Belanjawan 2027: Peminjam PTPTN berpendapatan bawah RM2,500 layak penangguhan bayaran balik

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 2027 kepada peminjam berpendapatan bulanan sehingga RM2,500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peminjam yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum sebanyak RM50.

Menurut beliau, langkah berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN.

Selain itu katanya, peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.

“Kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja, meliputi bayaran yang dibuat dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

“Dalam usaha menangani isu penginapan mahasiswa, kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mempercepat pelaksanaan projek kediaman pelajar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu katanya, fasa pertama Residensi Mahasiswa Universiti Malaya dijadualkan siap pada 2031 dan bakal memanfaatkan 10,000 mahasiswa universiti berkenaan.

Selain itu katanya, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus bagi membina kediaman siswa di enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button