LUAR NEGARA

Helikopter terhempas di tasik, lima terselamat, dua hilang

GUATEMALA CITY – Lima daripada tujuh individu terselamat selepas sebuah helikopter terhempas ke Tasik Atitlán di Guatemala, manakala dua lagi masih hilang dalam kejadian pada Khamis.

Pasukan penyelamat bersama anggota tentera Guatemala meneruskan operasi mencari dua individu berkenaan di tasik yang terletak di wilayah Sololá.

Menurut laporan pihak berkuasa penerbangan awam Guatemala, helikopter jenis Airbus H130 dengan nombor pendaftaran TG-GUH berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa La Aurora pada pukul 12.11 tengah hari waktu tempatan.

“Pesawat itu dalam perjalanan menuju sebuah hotel di bahagian utara tasik berkenaan dengan penerbangan dijadualkan mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Bagaimanapun, helikopter itu dilaporkan terhempas ke dalam tasik antara pukul 12.35 tengah hari hingga 12.48 tengah hari.

“Lima individu berjaya diselamatkan oleh pasukan kecemasan, manakala dua lagi, dikenal pasti sebagai juruterbang Jorge Rodolfo Maldonado dan Pablo José Polanco Agustín, masih belum ditemukan,” menurut laporan itu.

Pasukan penyelam daripada Jabatan Bomba Sukarela Guatemala kini giat menjalankan operasi pencarian di kawasan nahas dengan bantuan anggota tentera dan bot tempatan.

Menurut laporan media tempatan, lima mangsa yang terselamat tidak memerlukan rawatan perubatan dan ditempatkan di hotel berdekatan selepas diselamatkan.

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca nahas, sementara operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mengesan dua individu yang hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button