BERITA SEMASA

Dr Dzulkefly zahir ucapan takziah pemergian jururawat Hospital Selayang

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan pemergian seorang Jururawat Terlatih Hospital Selayang, Noor Atirah Yacob, 31, sebagai kehilangan besar buat seluruh keluarga Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah selepas Noor Atirah dan suaminya maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh, susur masuk ke Sierramas, petang semalam.

dzulkefly
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Menerima perkhabaran duka berhubung pemergian Allahyarhamah Noor Atirah seorang Jururawat Terlatih yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Menurutnya, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan buat seluruh keluarga besar KKM, selain segala jasa, keringat dan bakti dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan akan sentiasa dihargai dan dikenang.

“Segala jasa, keringat, dan bakti yang dicurahkan beliau sebagai wira barisan hadapan dalam menyelamatkan nyawa dan merawat pesakit pastinya akan sentiasa dihargai dan dikenang,” katanya.

BACA JUGA:
Jururawat Hospital Selayang, suami maut motosikal langgar lori

Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

“Bagi pihak KKM, saya merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mendepani ujian kehilangan ini.

“Kita doakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 2.50 petang semalam, motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna coklat yang ditunggang suami mangsa, lelaki berusia lingkungan 30-an, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, Noor Atirah dan suaminya yang berasal dari Tumpat, Kelantan, meninggalkan seorang anak lelaki berusia lima tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button