MySihat Expo 2026 himpunkan tiga festival dalam satu platform, tampilkan lebih 200 reruai
SERDANG – MySihat Expo 2026 menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung menerusi penganjuran ekspo kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup bersepadu di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, bermula 9 Oktober selama tiga hari.
Penganjur merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Moonman Events, Boo Dickson berkata, ekspo berkenaan menawarkan kemasukan percuma dan menggabungkan tiga komponen utama iaitu pavilion perubatan dan kesihatan MySihat Expo, pameran industri wangian FRAGMANIA serta festival kulinari dan gaya hidup Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
Menurutnya, konsep berkenaan diwujudkan sebagai platform sehenti yang membolehkan seisi keluarga dan orang ramai mendapatkan kesedaran mengenai kesihatan secara proaktif, di samping meluangkan masa bersama, menikmati makanan berkhasiat serta mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan yang lengkap.
“Ekspo MySihat 2026 akan menempatkan kira-kira 200 reruai membabitkan hospital perubatan swasta, klinik dan rakan kecergasan seperti Decathlon selain lebih 60 reruai jenama wangian terkemuka di bawah FRAGMANIA serta 30 hingga 50 gerai makanan tempatan dan zon kanak-kanak di Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan ujian saringan percuma dan konsultasi pakar daripada lebih 10 hospital swasta serta institusi kesihatan, termasuk Institut Jantung Negara (IJN), KPJ Healthcare, UMSC, Avisena Specialist Hospital, Assunta Hospital dan ALTY Orthopaedic Hospital,” katanya.

MySihat Expo 2026 anjuran Moonman Events bersama United Expo dan diuruskan Events Mastery itu turut mendapat sokongan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) serta Tourism Malaysia.
Sementara itu, Pengasas Raydiates Blue, Rayme Zainal Abidin berkata, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta melengkapkan konsep ekspo berkenaan sebagai destinasi untuk keluarga menikmati makanan dan aktiviti rekreasi dalam satu lokasi.
Katanya, segmen itu turut menyediakan pilihan makanan tempatan selain zon permainan kanak-kanak bagi membolehkan pengunjung meluangkan masa di MAEPS sepanjang penganjuran.
Baca juga : MySihat Expo 2026 sasar lebih 100,000 pengunjung, gabung empat festival dalam satu platform
Selain saringan kesihatan percuma, pengunjung boleh menyertai aktiviti seperti zumba, yoga dan larian santai, selain menikmati pelbagai kemudahan serta aktiviti yang disediakan sepanjang tiga hari ekspo berkenaan.
Dalam pada itu, FRAGMANIA yang menghimpunkan lebih 60 jenama wangian turut menawarkan cabutan bertuah kepada pengunjung untuk memenangi sebuah kereta Mini Cooper dengan pembelian minimum RM150.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







