Keperluan penyelenggaraan jalan negara cecah RM6 bilion setahun – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR – Keperluan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dianggarkan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan hanya menyediakan RM3.18 bilion bagi tujuan berkenaan pada 2026, merangkumi RM2.08 bilion untuk Semenanjung Malaysia, RM640 juta bagi Sabah dan RM461 juta untuk Sarawak.
“Keperluan kita adalah RM5 bilion hingga RM6 bilion untuk penyelenggaraan jalan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Namun, pada 2026 kita baru mendapat RM3.18 bilion,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan yang lebih mencukupi daripada Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan akan datang bagi memenuhi keperluan penyelenggaraan jalan.
Beliau berkata, KKR turut melaksanakan Pavement Condition Assessment (PCA) bagi menilai keadaan jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, penilaian berkenaan membolehkan kementerian mengenal pasti tahap keadaan serta kebolehupayaan sesuatu jalan sebelum kerja penyelenggaraan dilaksanakan.
“Daripada Pavement Condition Assessment itu, kita tahu tahap kebolehupayaan jalan-jalan tersebut dan bukan kita sengaja-sengaja menampal jalan.
“Apabila analisis terhadap keadaan jalan itu dibuat, barulah kita akan menampal mengikut projek penyelenggaraan yang kita peroleh peruntukan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.
Ahmad berkata, proses PCA bagi jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak pula sedang dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan meluluskan projek pembesaran jambatan Gual Periuk, Rantau Panjang, Kelantan bernilai RM45.14 juta.
Katanya, projek berkenaan membabitkan pembesaran jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong bagi meningkatkan keupayaan laluan antara sempadan Rantau Panjang dan Golok, Thailand.
Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak RM700 juta diperuntukkan pada 2026 bagi program cabutan undi untuk kontraktor kelas G1 hingga G4.
Daripada jumlah itu, RM300 juta diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia, manakala masing-masing RM200 juta untuk Sarawak dan Sabah.
Beliau berkata, kaedah cabutan undi itu dilaksanakan bagi memastikan peluang kerja penyelenggaraan dapat diberikan secara telus kepada kontraktor kecil yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






