LUAR NEGARA

Sebahagian Masjid Shahi berusia lebih 600 tahun mula diroboh, cetus ketegangan

NEW DELHI – Proses merobohkan sebahagian daripada Masjid Shahi di Ujjain, Madhya Pradesh yang didakwa berusia lebih 600 tahun dekat sini mencetuskan ketegangan komuniti Islam dengan pihak berkuasa, semalam.

Laporan The Indian Express mengatakan projek berkenaan diluluskan kerajaan sebagai persediaan penganjuran acara Hindu, Simhastha Kumbh 2028 yang dijangka menarik kehadiran ramai penganut dan pengunjung ke Ujjain.

“Jalan berkenaan akan dilebarkan sehingga 15 meter, manakala kira-kira 272 struktur dikenal pasti terjejas dalam projek pembangunan itu.

“Bahagian Masjid Shahi yang terlibat termasuk sebahagian dewan solat dan struktur lain yang berada dalam jajaran jalan dicadangkan,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun kerja-kerja merobohkan bahagian masjid itu mencetuskan bantahan penduduk dan sebahagian komuniti Islam di kawasan berkenaan.

Ketegangan kemudian berlaku apabila penunjuk perasaan dilaporkan bertembung dengan polis dan berlaku balingan batu, sebelum pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.

Pertikaian berhubung kerja berkenaan sebelum ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Madhya Pradesh dengan keputusan mahkamah menolak dua petisyen bagi menghalang tindakan pihak berkuasa.

Mahkamah membenarkan tindakan mengalihkan sebahagian struktur masjid yang berada dalam jajaran jalan, selepas mengambil kira keperluan pelebaran jalan bagi mengurus pergerakan dan keselamatan orang ramai menjelang Simhastha Kumbh 2028.

Pihak pengurusan masjid sebelum ini mendakwa Masjid Shahi dibina sekitar 1390, sekali gus menjadikannya struktur bersejarah yang 636 tahun.

Dalam perkembangan terbaharu, anggota jawatankuasa pengurusan masjid, Fahim Sikandar berkata, pihak komuniti Islam bersetuju membenarkan tindakan itu selepas rundingan dengan pentadbiran tempatan dan pegawai masjid dilakukan.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai bagi memastikan kerja pelebaran jalan dapat diteruskan secara aman, selain menunjukkan kerjasama komuniti terhadap projek berkenaan.

Pihak berkuasa sebelum ini menegaskan tindakan hanya melibatkan bahagian struktur yang berada dalam jajaran jalan, bukannya keseluruhan Masjid Shahi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button