RENCANA

Legasi Tun Dr Siti Hasmah: Perginya seorang doktor, pendidik dan ibu sebuah bangsa

KUALA LUMPUR – Ada insan yang ketika hidupnya masih di sisi, kita mungkin tidak pernah terfikir betapa besarnya ruang yang mereka isi dalam kehidupan dan sejarah sebuah negara. Namun apabila mereka pergi, barulah terasa ada sesuatu yang tidak mungkin dapat digantikan.

Begitulah pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang wanita yang bukan sekadar meninggalkan nama dalam lipatan sejarah, tetapi meninggalkan kasih, teladan, pengorbanan dan jasa yang akan terus hidup dalam ingatan sebuah bangsa.

tun hasmah
Wajah sayu Tun Mahathir di sisi jenazah isteri yang dicintai.

Pemergian negarawan dan tokoh wanita itu pada usia 100 tahun hari ini di Institut Jantung Negara (IJN) bukan sekadar kehilangan buat keluarga, sebaliknya meninggalkan ruang besar dalam lembaran sejarah negara yang pernah menyaksikan begitu banyak sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kesihatan awam, kebajikan masyarakat dan pembangunan wanita.

Namun, di sebalik segala darjah kebesaran, pentas rasmi dan kehidupan sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama lebih tujuh dekad, Allahyarhamah berjaya membina nama dan legasinya sendiri.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarhamah merupakan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan. Beliau berjaya menamatkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura pada 1955 sebelum menyertai Kementerian Kesihatan sebagai doktor.

Dalam kehidupan peribadinya, Tun Dr Siti Hasmah mula menjalin hubungan istimewa bersama Tun Dr Mahathir ketika sama-sama menuntut di kolej perubatan tersebut.

Tarikh 23 April 1949 menjadi antara detik paling bermakna dalam perjalanan hidup Tun Dr Mahathir apabila melafazkan ungkapan I love you (Aku cinta kamu) kepada pasangannya itu.

Ketika itu, kedua-duanya baru pulang menonton wayang sebelum berjalan perlahan menuju ke asrama mereka di Holne Chase. Kisah itu dinukilkan dalam buku Siti Hasmah: Citra Wanita Dua Zaman yang akhirnya membawa mereka ke  gerbang perkahwinan pada 4 Ogos 1956.

tun hasmah
Gambar perkahwinan Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah pada tahun 1956.

Daripada seorang doktor muda, langkahnya kemudian berkembang kepada perjuangan yang lebih luas.

Beliau gigih memperjuangkan kesihatan ibu dan anak, imunisasi, kesejahteraan wanita luar bandar, pencegahan penyalahgunaan dadah serta pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Barangkali sebab itu, antara peninggalan paling berharga Allahyarhamah bukan sekadar rekod pencapaian, tetapi cara beliau melihat kehidupan dan manusia.

“Dengan pendidikan dan latihan yang betul, wanita luar bandar boleh membantu membesarkan anak-anak yang celik huruf dan produktif yang seterusnya boleh menjadi penyumbang positif kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara,” katanya suatu ketika dahulu.

Kata-kata itu memperlihatkan keyakinan Allahyarhamah bahawa pendidikan bukan sekadar jalan untuk mengubah nasib seseorang, tetapi mampu mengubah sebuah keluarga dan akhirnya memberi kesan kepada masyarakat serta negara.

Lebih indah, Allahyarhamah sendiri merupakan bukti bahawa seorang wanita tidak perlu memilih antara keluarga dan khidmat kepada masyarakat.

Ini kerana kedua-dua peranan itu berjaya dipikulnya dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan kesabaran.

tun hasmah
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah meninggalkan legasi tersendiri untuk dicontohi golongan wanita sebagai isteri yang baik dan ibu anak bangsa.

Sepanjang hayatnya, Tun Dr Siti Hasmah juga tidak menjadikan status sebagai isteri pemimpin negara sebagai alasan untuk berada jauh daripada denyut kehidupan rakyat.

Beliau turun ke lapangan, mendekati wanita, keluarga, kanak-kanak dan masyarakat luar bandar.

Perjuangannya turut dibawa ke peringkat antarabangsa termasuk dalam usaha memperkasa wanita luar bandar dan menangani isu kesihatan serta penyalahgunaan dadah.

Dalam satu lagi ungkapan yang menggambarkan keperibadian dan prinsip hidupnya, Allahyarhamah pernah berkata:

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan atau ditinggalkan kepada masyarakat selain kasih sayang dan nasihat saya. Terimalah kedua-duanya dan amalkanlah dalam kehidupan.”

Tiada harta atau kedudukan yang disebut. Sebaliknya, apa yang mahu ditinggalkan ialah kasih sayang dan nasihat.

Malah, dalam satu rakaman video yang kembali tular di media sosial hari ini, Allahyarhamah pernah menyatakan mahu menjadi ibu kepada semua orang.

“Saya hanya mahu menjadi ibu kepada semua orang. Siapa-siapa yang rasa sedih, tiada sesiapa untuk bercakap … datanglah kepada saya,” tuturnya yang mengundang sebak warga maya.

Mungkin itulah inti paling besar daripada perjalanan hidup seorang Tun Dr Siti Hasmah.

tun hasmah
Gambar kenangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah ketika menziarahi Tun Dr Siti Hasmah di kediaman Allahyarhamah baru-baru ini. – Foto Facebook Syed Saddiq

Bahawa kehidupan yang panjang tidak diukur semata-mata pada usia, tetapi pada berapa banyak insan yang disentuh, dibantu dan diberi harapan sepanjang perjalanan yang telah dilalui.

Selama 100 tahun hayatnya, Allahyarhamah juga menyaksikan negara berubah daripada Tanah Melayu yang dijajah berkembang menjadi sebuah negara yang membangun dan moden.

Dalam tempoh itu juga, beliau melalui kehidupan sebagai doktor, isteri, ibu, tokoh masyarakat dan wanita yang berada dekat dengan sejarah kepimpinan Malaysia.

Sosok keperibadiannya yang lembut dan sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir sehingga ke akhir hayat menjadi bukti cinta pasangan bahagia. Justeru, tidak hairanlah air mata bekas Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7 itu gugur ketika menyaksikan pengebumian isteri tercinta.

hasmah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

Hari ini, apabila beliau pergi, yang tinggal bukan sekadar gambar dan kenangan seorang wanita anggun di sisi negarawan negara.

Tetapi yang tinggal ialah sebuah teladan bahawa ilmu perlu dikongsi, kedudukan perlu disertai tanggungjawab, wanita perlu diberi ruang untuk maju dan kehidupan akan lebih bermakna apabila digunakan untuk berbakti.

Tun Dr Siti Hasmah mungkin telah pergi, namun nilai yang diperjuangkannya akan terus hidup dalam generasi yang pernah disentuh oleh khidmat dan nasihatnya.

Semoga segala jasa, pengorbanan dan amal bakti Allahyarhamah diterima sebagai amal soleh dan menjadi asbab dikurniakan syurga tertinggi di akhirat yang kekal abadi.

Al-Fatihah buat Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Perginya seorang wanita yang bukan hanya berdiri di sisi sejarah, tetapi turut meninggalkan jejaknya sendiri di dalam sejarah yang terlakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button