BERITA SEMASA

Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Tun Dr Siti Hasmah

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini pada pukul 4 petang tadi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Ketibaan pasangan itu menyusuli kehadiran pemimpin politik, pegawai kanan kerajaan, tokoh terkemuka serta orang awam yang berkumpul di masjid berkenaan menjelang solat jenazah Allahyarhamah.

Turut mengiringi Anwar ialah Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, memetik laporan Metro Online.

Orang ramai mula memenuhi pekarangan masjid seawal pukul 1 tengah hari dalam suasana hiba bagi memberi penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Jenazah Allahyarhamah tiba di masjid pada pukul 2.55 petang selepas dibawa dari kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan.

Antara yang hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tunangnya, Bella Astillah.

Tun Dr Mahathir tiba lebih awal dengan kenderaan berasingan dan dilihat mengenakan baju Melayu berwarna putih.

Terdahulu, Anwar mengumumkan Allahyarhamah akan diberikan penghormatan istiadat pengebumian negara sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan baktinya kepada negara.

Beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, membantu melancarkan urusan pengebumian Allahyarhamah.

Sebelum ini, Anwar menzahirkan penghormatan terhadap Allahyarhamah dengan menyifatkan khidmat dan baktinya kepada negara, khususnya dalam kerja kebajikan serta keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, akan sentiasa dikenang.

Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi. Berita pemergiannya disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Jenazah Allahyarhamah dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya selepas solat jenazah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button