POLITIK

Muhyiddin umum tidak pertahan jawatan Presiden pemilihan akan datang

SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pemilihan parti yang akan datang.

Presiden BERSATU itu berkata, ia adalah bagi memberi peluang dan ruang kepada pemimpin pelapis menerajui parti itu.

“Saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba. Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan
parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis BERSATU mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketika Perhimpunan Agung Tahunan hari ini.

Dalam itu Muhyiddin juga mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas diangkat untuk menerajui barisan kepimpinan parti itu.

“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembeleng dengan lebih jitu lagi pada
masa hadapan.

“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli BERSATU sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik.

“Saya berdoa mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli-ahli BERSATU, proses peralihan kepimpinan parti akan berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni. Junjunglah perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya
parti kita dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti lagi selepas ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button