BERSATU sahkan kerjasama dengan PAS berakhir, mula intai penjajaran politik baharu
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan kerjasama politiknya dengan PAS telah berakhir dan mula membuka ruang untuk membentuk penjajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan menamatkan kerjasama itu tidak dibuat oleh parti itu sebaliknya merupakan pilihan PAS.
Katanya, keadaan itu bermakna kedua-dua parti yang pernah menjadi tonggak utama Perikatan Nasional (PN) tidak lagi bekerjasama.
“Tak perlu saya komen, dah lama dah berlaku. Dah dilakukan oleh PAS. Kita tidak buat keputusan itu.
“Jadi apa pun, dia sudah pun diketahui. Jadi makna memang kita dengan PAS setakat hari ini masih lagi tidak bekerjasama,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 BERSATU di sini, malam tadi.
Muhyiddin pada masa sama memberi bayangan BERSATU sedang meneroka kemungkinan kerjasama dengan pihak lain, susulan perubahan landskap politik semasa.
Beliau menyifatkan BERSATU ketika ini seperti ‘dara sunti’ yang menerima perhatian daripada pelbagai pihak, sekali gus memberi gambaran wujud usaha untuk membentuk penjajaran politik baharu.
Katanya, BERSATU terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang mempunyai kesediaan membentuk kerjasama, namun menegaskan hubungan itu perlu berasaskan keikhlasan dan bukan kepentingan politik semata-mata.
“Kita terbuka. Kalau ada pihak yang nak meminang, kita boleh berbincang. Tetapi janganlah bersikap hipokrit atau oportunis, datang ketika memerlukan kita dan selepas itu meninggalkan kita,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








