BERITA SEMASA

Selangor umum cuti gantian 26 Oktober sempena Jubli Perak Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengumumkan 26 Oktober depan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian bagi seluruh negeri itu bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pengisytiharan cuti gantian itu berikutan tarikh sambutan kemuncak serta Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) pada 25 Oktober jatuh pada Ahad.

“Memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad, maka hari berikutnya, Isnin, 26 Oktober ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian,” katanya memetik Sinar Harian.

pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, sambutan Jubli Perak turut dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November depan sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 20 program dan majlis rasmi telah disusun merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan.

“Pengisian ini menggembleng kerjasama menyeluruh jabatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri (GLC) serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 Oktober bersempena dengan genap 25 tahun pemerintahan baginda, yang melibatkan tiga istiadat utama.

Tiga istiadat berkenaan adalah Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan, Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button