Penyanyi asal Ulek Mayang, Wan Salmah meninggal dunia
KUALA TERENGGANU – Penyanyi asal lagu tradisional Ulek Mayang, Wan Salmah Wan Sulaiman meninggal dunia akibat penurunan tahap oksigen dalam badan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Allahyarham yang berusia 82 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.25 pagi selepas kira-kira 20 hari menerima rawatan di wad hospital berkenaan.
Anak lelakinya, Shahriman Shamsuddin, 52, berkata, tahap oksigen ibunya menurun secara mendadak pagi tadi sehingga menjejaskan fungsi beberapa organ termasuk hati.
“Kandungan oksigen dalam badan Mami (Wan Salmah) turun mendadak pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa organ badannya termasuk hati berhenti fungsi.
“Sewaktu dia menghembuskan nafas terakhir, saya berada di sisinya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut Shahriman, ibunya sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-82 pada 19 September ini.
Wan Salmah yang berasal dari Kampung Tiong, di sini, dikenali sebagai antara tokoh yang memainkan peranan dalam mengangkat seni tradisional Terengganu ke pentas lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.
Allahyarham khususnya dikenali menerusi persembahan Ulek Mayang selain penglibatannya dalam seni gamelan Melayu.
Pemergian Wan Salmah merupakan kehilangan besar kepada khazanah seni tradisional Terengganu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan budaya negeri itu selama puluhan tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








