KUSKOP jalin kerjasama dengan Co-opBank Pertama anjur Program Memasyarakatkan Koperasi
PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Co-opBank Pertama (CBP) secara rasmi hari ini menjalin kerjasama bagi penganjuran Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP).
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, program tersebut adalah bertujuan untuk menggalakkan penubuhan koperasi khususnya dalam kalangan anggota masyarakat di negara ini.
“MASKOP bertujuan untuk memupuk semangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk penjawat awam dan sektor swasta berkaitan koperasi.
“Dalam masa yang sama, program ini juga dijadikan sebagai satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Progam MASKOP di Auditorium Angkasa di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri KUSKOP, Senator Saraswathy Kandasami serta Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar.
Dalam majlis yang sama, Ewon Benedick turut merasmikan Skim Pembiayaan COSTART yang menyediakan dana sebanyak RM10 juta kepada koperasi-koperasi kredit yang baru ditubuhkan kurang dari tiga tahun.
Kata beliau, pakej ini bertujuan untuk memastikan CBP memainkan peranan untuk golongan “unserved and underserved” yang seterusnya sebahagian dari inisiatif rangkuman kewangan.
Permohonan skim ini telah dibuka pada 1 Oktober 2023 dengan had minimum adalah RM300 ribu manakala had maksimum pembiayaan sebanyak RM1 juta bagi setiap koperasi.

Dalam pada itu, Ewon Benedick juga turut menyerahkan mock-up kepada dua buah koperasi yang telah diluluskan permohonan bagi skim pembiayaan tersebut iaitu Koperasi Pelaburan Empayar Berhad dan Koperasi Wanita Malaysia Berhad yang menerima pembiayaan sebanyak RM1 juta.
Program yang dihadiri seramai 500 orang peserta terdiri daripada penjawat awam, anggota koperasi dan usahawan sekitar daerah Petaling Jaya ini juga merupakan satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam.
Selain itu, melalui program ini, KUSKOP berharap mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Diharapkan agar penggemblengan tenaga dan usaha agensi-agensi kerajaan, koperasi dan usahawan yang terlibat dalam program ini akan mencapai satu matlamat yang sama dalam menjayakan visi KUSKOP iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul yang bersatu, makmur dan bermaruah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








