SMSS julang Piala Perdana Menteri pertama selepas penantian selama 17 tahun
CYBERJAYA – Penantian selama 17 tahun untuk kembali ke pentas akhir akhirnya berbaloi apabila Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) berjaya merangkul kejuaraan Bahas Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PPM) Kali Ke-51.
Ini sekali gus menghadiahkan trofi sulung pertandingan berprestij itu kepada sekolah berkenaan.
Kejayaan tersebut dicapai menerusi gandingan pembahas Tingkatan Empat, Ahmad Zikri Wafiy Mohd Rozaini, Muhammad Sharin Syazwi Md Shariff, Aqeef Amsyar Suhaimi serta pembahas simpanan, Muhammad Amsyar Mohd Sahdan.
Berkongsi perasaan selepas kemenangan itu, Ahmad Zikri berkata kejayaan berkenaan merupakan pencapaian yang amat bermakna bukan sahaja kepada pasukan, malah seluruh warga sekolah.
“Ini penantian 17 tahun untuk sekolah kami kembali ke pentas akhir Bahas Piala Perdana Menteri dan ini juga piala pertama yang berjaya kami raih.
“Sudah tentu kemenangan ini sangat menggembirakan semua pihak kerana kami telah memulakan perjalanan dalam dunia debat sejak Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua lagi,ā katanya ketika ditemui selepas tamat final perbahasan itu, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa sokongan berterusan daripada guru, ibu bapa dan alumni yang membantu pasukan mengatur jadual latihan secara konsisten.
“Menjelang peringkat akhir, mereka menjalani latihan intensif selama dua minggu bermula seawal pukul 8 pagi, disusuli sesi petang dan malam bagi memantapkan hujah serta penguasaan bahasa.
“Alumni yang pernah beraksi di pentas akhir turut membantu kami membuat persediaan, selain guru-guru yang menyemak penggunaan bahasa dan penyampaian hujah.
“Kami juga banyak merujuk akhbar dan pelbagai bahan bacaan untuk memastikan fakta yang dibawa adalah tepat,ā tambahnya.
Beliau berkata, SMSS turut memberi perhatian kepada pembangunan pelapis dengan menghantar pembahas muda menyertai pelbagai pertandingan supaya kesinambungan kecemerlangan sekolah dapat diteruskan.
āKami tidak mahu perlu menunggu 17 tahun lagi untuk kembali ke final. Insya-Allah pelapis sudah disediakan dan sedang diberi pendedahan melalui pertandingan lain,ā ujarnya.
Sementara itu, pemenang Anugerah Pembahas Terbaik Kategori Bahasa Melayu, Muhammad Sharin Syazwi Md Shariff yang juga merupakan peserta debat SASS menyifatkan kemenangan tersebut lebih membawa rasa lega berbanding gembira.
“Usaha yang dicurahkan sejak Tingkatan Dua akhirnya membuahkan hasil selepas melalui pelbagai cabaran bersama rakan sepasukan.
“Perasaan saya lebih kepada lega kerana selepas bertahun-tahun berusaha bersama-sama, akhirnya kami dapat mencapai apa yang diimpikan sejak awal lagi.
“Saya sangat berterima kasih kepada guru-guru, pihak sekolah, alumni dan ibu bapa. Pencapaian ini bukan milik kami sahaja tetapi milik semua yang membantu sepanjang perjalanan ini,ā katanya.
Mengulas saingan di pentas akhir, beliau mengakui pihak lawan menampilkan penghujahan yang baik, namun pasukannya berjaya mengenal pasti kelemahan tertentu dan menjelaskan perkara itu kepada audiens.
“Pihak lawan mempunyai penghujahan yang baik, tetapi kami berjaya mengesan beberapa isu yang tidak dapat mereka selesaikan dan mengetengahkannya dalam perbahasan,ā ujarnya.
Dalam pada itu, kejayaan kategori Bahasa Inggeris pula menjadi milik Sekolah Sultan Alam Shah (SAS).
Pembahasnya, Adam Rayyan Abdul Azim berkata persiapan rapi selama dua bulan menjadi kunci kejayaan pasukan berkenaan menjuarai kategori tersebut.
Menurutnya, mereka meluangkan antara lima hingga enam jam sehari untuk latihan, selain melakukan kajian mendalam terhadap pelbagai isu semasa termasuk dasar kerajaan dan bidang tenaga.
“Kami cuba memahami bagaimana dunia berfungsi pada masa ini, khususnya dalam konteks Malaysia yang sedang menyaksikan pelbagai dasar baharu diperkenalkan.
“Semua itu membantu kami lebih bersedia untuk menghadapi pertandingan ini,ā katanya.
Adam turut berkongsi cabaran mengimbangi komitmen perbahasan dengan persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kami mengatur masa dengan membahagikan sesi latihan pada waktu pagi dan petang, manakala waktu malam dimanfaatkan untuk mengulang kaji pelajaran.
āSelain itu, subjek yang tertinggal akibat latihan perlu dikejar semula supaya prestasi akademik tidak terjejas,ā katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar yang bercita-cita mengikuti jejak mereka dalam dunia perbahasan.
āSentiasalah percaya bahawa sesuatu itu boleh dicapai. Jika kita percaya ia mungkin, peluang untuk merealisasikannya akan sentiasa ada,ā katanya.
PPPM yang memasuki usia 51 tahun pada tahun ini melibatkan penyertaan 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari seluruh negara serta Maktab Tentera Diraja sebagai sekolah jemputan pada pusingan awal kebangsaan.
Daripada jumlah itu, 38 pasukan mara ke pusingan akhir kebangsaan sebelum hanya empat pasukan terbaik berjaya menempah tempat di pentas akhir bagi kedua-dua kategori pertandingan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


