Aktiviti berkelah 11 rakan berakhir tragedi, remaja maut lemas
TAWAU – Aktiviti mandi-manda bersama rakan di Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai Besar dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang remaja berusia 19 tahun lemas selepas air sungai berkenaan tiba-tiba menjadi deras, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun sedang mandi bersama enam rakannya, manakala enam lagi rakan berada berhampiran kawasan sungai sambil menyediakan makanan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, berkata mangsa berkelah bersama 11 rakannya di kawasan sungai berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa bersama enam rakan sedang mandi dalam sungai, manakala rakan lain berada berhampiran dan menyediakan makanan. Bagaimanapun, air sungai tiba-tiba menjadi deras.
“Enam rakan mangsa sempat berenang menyelamatkan diri dan berjaya sampai ke tebing, manakala mangsa gagal berbuat demikian sebelum tenggelam.
“Rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada penjaga sungai di situ yang terjun serta menyelam ke dalam sungai untuk mencari mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wilynton berkata, remaja itu berjaya ditemui dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk rawatan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di klinik berkenaan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tawau, untuk bedah siasat.
“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada tanda berunsur jenayah atau kesan mencurigakan pada tubuh mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalan bagi melengkapkan dokumentasi serta tindakan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







