KSN seru tindakan proaktif tangani kelemahan tatakelola
PUTRAJAYA – Pengukuhan tatakelola, akauntabiliti dan pematuhan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan sebarang kelemahan serta ketidakpatuhan dapat dikenal pasti dan ditangani pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pegawai kerajaan yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) perlu memainkan peranan secara aktif dan bukan sekadar menghadiri mesyuarat.
“Ahli Lembaga Pengarah perlu berani bersuara, mengemukakan pandangan profesional dan menilai setiap cadangan secara teliti.
“Mereka tidak boleh menjadi pemerhati pasif kerana setiap keputusan yang dibuat adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipertahankan demi kepentingan organisasi dan negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 8 Bil. 2 Tahun 2026 di Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.
Hadir sama, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; serta pengarah kanan dan pengarah-pengarah bahagian SPRM.
Shamsul Azri kemudiannya berkata, setiap pandangan, teguran atau kebimbangan yang dikemukakan pegawai kerajaan ketika mesyuarat lembaga juga perlu direkodkan dengan jelas dalam minit mesyuarat.
Menurutnya, rekod berkenaan penting sebagai rujukan rasmi selain memastikan pendirian dan pandangan pegawai dapat dikenal pasti sekiranya timbul persoalan berhubung keputusan yang dibuat.
Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan supaya 36 hasil penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah dalam pelbagai sektor utama negara yang dibentangkan menerusi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah dari 2022 hingga 2025 dibawa ke Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).
Beliau turut mencadangkan hasil penyelidikan itu diedarkan kepada semua agensi kerajaan untuk dijadikan sumber rujukan dalam merangka dasar dan strategi berkaitan tatakelola, integriti serta pencegahan rasuah.
Menurutnya, hasil penyelidikan berkenaan dapat membantu mengenal pasti kelemahan dan ruang penambahbaikan, sekali gus memperkukuh usaha pencegahan rasuah, tatakelola serta integriti kerajaan secara berterusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








