1.1 juta peniaga PMKS terima manfaat pengecualian e-Invois – HASiL
KUALA LUMPUR – Lebih 1.1 juta peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bakal menikmati pengecualian daripada melaksanakan e-Invois susulan keputusan kerajaan menaikkan nilai ambang pelaksanaannya daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Perubahan itu berkuat kuasa 1 September ini dan menyaksikan PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak lagi diwajibkan melaksanakan e-Invois.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), langkah berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam meringankan beban pematuhan dan kos yang ditanggung golongan PMKS.
“Ikhtiar Kerajaan MADANI ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban pematuhan dan kos yang ditanggung oleh PMKS.
“Di samping itu, ikhtiar ini memberi ruang kepada golongan peniaga untuk terus memberi tumpuan kepada kelangsungan dan pengembangan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois dari RM1 juta kepada RM3 juta.
Beliau berkata, dengan itu, perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.
Menurut HASiL lagi, sejak pelaksanaan e-Invois pada 1 Ogos 2024, seramai 265,379 pembayar cukai sudah mengemukakan e-Invois membabitkan pengeluaran lebih 1.84 bilion e-Invois.
Bagaimanapun, HASiL menggalakkan PMKS menyertai pelaksanaan e-Invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan.
“HASiL akan terus membantu PMKS melalui aktiviti pendidikan, program bimbingan serta sesi libat urus secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar.
“Ini termasuk panduan dan tutorial penggunaan Portal MyInvois, aplikasi MyInvois dan MyInvois e-POS bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai pelaksanaan e-Invois dalam kalangan PMKS,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






