JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek kes kanak-kanak maut dikelar direman hingga 4 September

SIBU – Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai dikelar pada bahagian leher, di sini semalam direman sehingga 4 September ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 49 tahun yang dipercayai bapa saudara mangsa dibawa ke Mahkamah Sibu pagi tadi dan permohonan reman terhadapnya diluluskan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menerima laporan daripada orang awam kira-kira 1.45 tengah hari semalam berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai dikelar pada bahagian leher oleh bapa saudaranya.

Beliau berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Susulan maklumat diterima, polis menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu selain merampas beberapa barang kes di lokasi kejadian. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button