Banjir Nepal-Tibet: 586 disahkan maut, lebih 2,400 masih hilang
KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 586 orang disahkan maut, manakala lebih 2,400 lagi masih hilang selepas banjir besar dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet, susulan bencana yang dipercayai berpunca daripada keruntuhan glasier di pergunungan Himalaya.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa Reuters, seramai lebih 2,482 orang masih belum ditemui dalam bencana yang turut menjejaskan kawasan penempatan, laluan perdagangan serta infrastruktur penting di sempadan kedua-dua wilayah.
Di Nepal, pihak berkuasa melaporkan 1,924 orang masih hilang, manakala China merekodkan 554 individu yang belum ditemui di Tibet.
Angka berkenaan dijangka terus berubah ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi di kawasan yang terjejas.
Media antarabangsa juga melaporkan operasi SAR kembali digerakkan selepas usaha awal terpaksa dihentikan berikutan limpahan air daripada sebuah tasik yang terbentuk di kawasan hulu, sekali gus meningkatkan risiko banjir susulan kepada pasukan penyelamat.
Antara kawasan paling teruk terjejas ialah lintasan sempadan Gyirong yang menghubungkan Nepal dan China.
Infrastruktur berkenaan dilaporkan mengalami kemusnahan teruk dengan pasukan penyelamat berdepan timbunan lumpur, batu dan serpihan ketika mencari mangsa.
Lebih membimbangkan, ratusan warga asing turut dilaporkan masih belum dapat dihubungi.
Laporan antarabangsa menyebut antara yang hilang termasuk lebih 50 rakyat Malaysia, selain 41 warga Australia, 33 Britain, 29 Latvia, 25 Kanada, 61 Ukraine dan 65 warga Amerika Syarikat.
Lembaga Pelancongan Nepal turut melaporkan ratusan pelancong masih belum dapat dihubungi termasuk pelancong asing.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 121 pelancong telah berjaya diselamatkan ketika operasi SAR terus dipergiatkan.
Secara keseluruhan, lebih 90,000 penduduk terjejas akibat bencana itu, manakala kemusnahan turut melibatkan kemudahan awam dan laluan penting yang menjadi penghubung antara Nepal dan Tibet.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








