BERITA SEMASAPMX

Usaha islah negara berpandukan strategi Rasulullah SAW – Anwar

KUALA LUMPUR – Usaha membangunkan negara majmuk perlu terus berpaksikan perpaduan, keadilan dan ihsan, dengan mengambil iktibar daripada kejayaan Nabi Muhammad SAW membina masyarakat Madinah lebih 14 abad lalu, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, kejayaan Rasulullah SAW membangunkan Madinah selepas usaha islah selama sedekad membuktikan tatanan yang adil dan berteraskan ihsan mampu membentuk masyarakat dengan akal budi serta akhlak yang tinggi.

Menurut beliau, paradigma syariah turut mengubah sahsiah dan pemikiran masyarakat ketika itu menerusi kesedaran ketuhanan dan kematangan sosial.

“Pertembungan tajam Aus dan Khazraj yang sekian lama menggoncang Yathrib dilebur dalam semangat perpaduan Ansar demi kestabilan, menghapus curiga dan kegelisahan kaum yang menghambat kemajuan,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, keperluan asas yang terjamin dan keamanan nyata amat penting sebagai syarat terjaminnya daruriyat dalam Maqasid Syariah seperti yang diungkap Muhammad Imarah.

Katanya, di Madinah, golongan miskin dibantu, golongan lemah disantuni dan mereka yang berbeza diberikan ruang, selain amalan monopoli disingkirkan demi pemerataan ekonomi yang lebih saksama.

“Keperluan asas harus terjamin dan keamanan nyata amat penting. Iktikad ini menjadi syarat terjaminnya daruriyat dalam Maqasid Syariah seperti yang diungkap Muhammad Imarah.

“Di Madinatun Nabi yang serba rahmah itu, yang miskin dibantu, yang lemah disantuni, yang berbeza masing-masing diberi ruang. Amalan monopoli disingkir demi pemerataan ekonomi yang lebih saksama, sementara utusan dihantar keluar dengan mesej membina tatanan yang lebih aman dan adil,” katanya.

Beliau berkata, strategi Rasulullah SAW kekal menjadi rujukan dalam usaha membangunkan negara, termasuk dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21.

“Hari ini, strategi Baginda SAW kekal menjadi rujukan. Tentunya tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 ini dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya.

“Namun kita akan terus berusaha, selagi kudrat dan masa masih tersisa, bagi melakukan perubahan dan islah menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT,” katanya.

Anwar berkata, setiap pemimpin pastinya menginginkan yang terbaik untuk seluruh rakyat dan beliau turut mempunyai hasrat sama.

“Tiap pemimpin pastinya mendambakan yang terbaik buat seluruh rakyatnya, dan saya juga begitu. Semoga Allah SWT terus memberkati tanah air kita, dan rakyatnya dirahmati dengan kasih sayang dan rezeki yang berkat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button