POLITIK

DAP akur realiti politik, terus bekerjasama dengan UMNO

PUTRAJAYA – DAP memilih untuk terus bekerjasama dengan UMNO bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan terus terpelihara, meskipun wujud perbezaan pendirian antara parti termasuk berhubung isu pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) membabitkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu tidak mahu mewujudkan ketidakstabilan dalam kerajaan kerana ia boleh menjejaskan usaha melaksanakan agenda serta perkara yang diperjuangkan bersama.

“Perbezaan antara parti memang wujud dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi kita perlu memastikan kerajaan stabil supaya apa yang kita bincangkan dan perjuangkan dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di sini, hari ini.

Baca juga : Agenda reformasi DAP bukan untuk tekan Perdana Menteri – Loke

Loke berkata demikian ketika mengulas kritikan beberapa perwakilan terhadap UMNO termasuk membangkitkan isu DNAA Ahmad Zahid ketika perbahasan usul menentukan sama ada DAP perlu kekal dalam kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Pimpinan PH, dengan Perdana Menteri mempunyai pertimbangan tersendiri dalam memastikan kestabilan kerajaan.

Katanya, keputusan perwakilan untuk kekal dalam kerajaan dibuat selepas mereka memahami bahawa langkah itu bermakna DAP perlu meneruskan kerjasama dengan UMNO.

“Perwakilan sudah mengundi untuk kita kekal dalam kerajaan. Ini kehendak perwakilan, dan mereka tahu bahawa kita perlu bekerjasama dengan UMNO.

“Inilah realiti politik yang difahami semua perwakilan. Sebab itu kita bawa perkara ini ke persidangan kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, Loke membentangkan usul pada persidangan berkenaan bagi membolehkan perwakilan menentukan menerusi undi sulit sama ada DAP perlu kekal dalam kerajaan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sengaja tidak membuat keputusan itu sendiri, sebaliknya menyerahkannya kepada perwakilan sebagai langkah memperkukuh proses membuat keputusan secara demokratik dalam parti.

Dalam pengundian itu, 88 peratus perwakilan memilih DAP kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen semasa.

Mengulas gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung dakwaan “mafia korporat”, Loke berkata, pendirian DAP mengenai perkara itu telah dinyatakan dengan jelas dan parti akan terus menggesa Anwar yang juga Perdana Menteri supaya mempertimbangkan semula perkara berkenaan.

“Ini sesuatu yang kita sudah nyatakan pendirian dan kita tetap dengan pendirian kita dan kita berharap dapat meyakinkan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula isu ini,” katanya.

Pengundian pada Persidangan Kebangsaan DAP tahun ini berlangsung selepas parti berdepan kemerosotan keputusan pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button