Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang sejak Selasa ditemui selamat di Central Market
KUALA LUMPUR – Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa, berjaya ditemui pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kedua-dua pelajar berkenaan ditemui di sekitar Central Market (Pasar Seni) di sini.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman telah berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Semalam Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru mengenai kehilangan kedua-dua remaja terbabit pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Menurutnya, Siti Nur Aaira mempunyai ketinggian 157 sentimeter, berat 50 kilogram dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Sementara itu, Nur Aisy Humaira mempunyai ketinggian dan berat yang sama serta beralamat terakhir di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.
Lokasi terakhir kedua-dua pelajar berkenaan dilihat ialah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Siti Nur Aaira dilaporkan kali terakhir memakai baju berwarna hitam, manakala Nur Aisy Humaira dilihat memakai pakaian berwarna gelap.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








