Bahan kimia disyaki untuk proses dadah bernilai hampir RM5 juta dirampas Maritim Malaysia
MELAKA – Sebanyak 67 botol cecair bahan kimia disyaki digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik bernilai hampir RM4.958 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan di pesisir Pantai Klebang, di sini, malam kelmarin.
Rampasan itu dilakukan ketika aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin sebelum menemukan enam kotak dibalut plastik hitam yang dipercayai mengandungi cecair atau bahan kimia untuk memproses dadah kira-kira jam 9.06 malam.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu adalah rampasan kedua direkodkan pihaknya dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan bahan berkaitan dadah melalui laluan laut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 67 botol cecair bahan kimia dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik.
“Nilai rampasan bagi pasaran gelap dianggarkan hampir RM4.958 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Salehuddin berkata, tiada tangkapan dibuat di lokasi kejadian kerana dipercayai suspek meninggalkan bahan itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Katanya, semua barang rampasan ditemukan kira-kira jam 9.30 malam itu kemudian dibawa ke Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana membabitkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan bagi penghasilan dadah berbahaya.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan serta kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut meminta komuniti pesisir pantai dan nelayan menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







