JENAYAH & MAHKAMAH

11.45 tan serbuk ketum dirampas, empat ditahan di Tuaran

KOTA KINABALU – Sebanyak 11.45 tan serbuk ketum bernilai kira-kira RM1.145 juta dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini, semalam.

Operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran itu turut menyaksikan empat individu ditahan bagi membantu siasatan.

PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan memaklumkan operasi pada Khamis itu dijalankan susulan maklumat risikan berhubung kegiatan penyimpanan dan pengedaran serbuk ketum.

“Pemeriksaan di premis dan di dalam sebuah lori menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang telah diproses dan dibungkus untuk tujuan pengedaran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM1.4 juta,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Ujian saringan awal mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang terlibat.

PPM Wilayah 4 Sabah menambah, pihaknya akan terus memperkasakan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button