JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi batal pertuduhan ceroboh tanah terhadap pengerusi kuil di Dengkil

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membebaskan seorang pengerusi kuil daripada pertuduhan menceroboh tanah persendirian di Jalan Dredging Selangor, Dengkil selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Dr Hazlina Hussain terhadap M. Paramaguru, 49, selepas mahkamah mendapati pertuduhan yang dikenakan mempunyai kecacatan yang tidak boleh diperbaiki.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Paramaguru berkata, mahkamah memutuskan kertas pertuduhan gagal mendedahkan elemen niat yang diperlukan bagi membuktikan kesalahan jenayah menceroboh.

Menurutnya, Paramaguru yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut terlibat dalam pertikaian berhubung status tanah yang menempatkan kuil berkenaan dengan pemilik tanah persendirian.

“Mahkamah berpendapat pertuduhan itu tidak menunjukkan anak guam saya mempunyai niat yang diperlukan untuk memenuhi elemen kesalahan di bawah pertuduhan tersebut.

“Justeru, hakim berpandangan meneruskan perbicaraan hanya akan membazirkan masa mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Latheefa mengendalikan kes itu bersama peguam Rajesh Nagarajan, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail.

Pada 9 Februari lalu, Paramaguru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menceroboh tanah persendirian milik Datuk Suhaili Ahmad di Jalan Dredging Selangor, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button