BERITA SEMASA

Kanak-kanak tular melambai ceria dalam kereta uzur terima bantuan aktivis sosial

KUALA LUMPUR – Kisah seorang kanak-kanak perempuan yang tular kerana melambai sambil tersenyum dari sebuah kereta uzur mendapat perhatian pempengaruh dan aktivis sosial dari Sabah, Adrian Edy Siaw Chee Hua yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Adrian Edy, 30, memaklumkan, beliau berjaya menemui kanak-kanak yang dikenali sebagai Mia bersama bapanya pada pagi semalam selepas meminta bantuan orang ramai mengesan keluarga itu menerusi media sosial.

Beliau berkata, kenderaan milik keluarga berkenaan telah dibawa ke sebuah bengkel untuk dibaiki, termasuk menggantikan cermin belakang yang pecah serta membaiki beberapa kerosakan lain.

“Kita sudah jumpa adik Mia dan ayahnya. Sekarang dalam perjalanan ke bengkel untuk baiki kereta mereka. Nanti saya akan kongsi perkembangan selepas semuanya siap,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Adrian turut memuat naik beberapa gambar bersama Mia ketika berada di dalam kereta tersebut yang dilihat sudah lama dan uzur.

Pemerhatian mendapati kenderaan itu mengalami beberapa kerosakan termasuk cermin belakang yang pecah serta lampu kabin di bahagian bumbung yang rosak dan tidak mempunyai penutup.

Sebelum ini, Adrian merayu bantuan orang ramai untuk mengesan keluarga terbabit selepas tersentuh melihat rakaman video memaparkan Mia melambai dan tersenyum ceria dari tempat duduk belakang kereta berkenaan.

BACA JUGA:
Kanak-kanak ceria dalam kereta uzur sentuh hati netizen, ramai tampil mahu membantu

Beliau berkata, selain menanggung kos membaiki kenderaan itu, beliau turut berhasrat menghadiahkan sesuatu kepada Mia sebagai tanda sokongan.

“Saya perlukan bantuan orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai keluarga ini. Saya mahu membantu membaiki kereta mereka dan memberikan hadiah kepada adik ini. Berdasarkan video, lokasi dipercayai di Kota Kinabalu. Jika ada maklumat, hubungi saya secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, video memaparkan Mia melambai sambil tersenyum dari dalam kereta yang mempunyai cermin belakang pecah tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, wajah ceria kanak-kanak itu menyentuh hati ramai sehingga mencetuskan gelombang simpati dan sokongan.

Rata-rata pengguna media sosial turut memuji tindakan pantas Adrian membantu keluarga tersebut serta mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button