JENAYAH & MAHKAMAH

Polis sahkan himpunan aman di IPD Klang Selatan susulan kematian ‘Rocky’

KLANG – Polis hari ini mengesahkan sekumpulan individu berhimpun secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan susulan kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, perhimpunan bertemakan ‘Justice for Rocky’ itu berlangsung kira-kira pukul 10.15 malam semalam.

Susulan kejadian, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berhubung insiden berkenaan.

“Polis memberi jaminan penuh bahawa siasatan akan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak mana-mana pihak.

“Proses siasatan sedang dijalankan bagi melengkapkan kesemua bukti serta keterangan berkaitan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jit Huey seterusnya berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkumpul di premis atau bangunan kerajaan.

“Tindakan sedemikian boleh mengganggu kelancaran operasi harian perkhidmatan awam serta menimbulkan gangguan kepada lalu lintas di kawasan sekitar.

“Justeru, semua pihak digesa bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran siasatan,” katanya dalam kenyatan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar dan video memaparkan keadaan perhimpunan pada malam hari di IPD Klang Selatan yang dikaitkan dengan insiden kematian anjing tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button