BERITA SEMASALUAR NEGARASUKAN

Legenda pertahanan Itali, Franco Baresi meninggal dunia

MILAN – Bekas pemain pertahanan AC Milan dan Itali, Franco Baresi, yang dianggap antara pemain paling berpengaruh dalam era kegemilangan bola sepak Itali pada era 80-an dan 90-an, meninggal dunia pada usia 66 tahun, hari ini.

Reuters yang memetik kenyataan kelab berkenaan berkata, pemergian Baresi merupakan satu kehilangan kerana mendiang merupakan individu yang “sentiasa menunjukkan teladan baik dan integritinya akan terpahat selama-lamanya dalam DNA kelab.”

Tahun lalu, AC Milan memaklumkan, Baresi, yang ketika itu berkhidmat sebagai Naib Presiden Kehormat kelab, menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada paru-parunya dan menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pakar kanser.

Pada Februari lalu, Baresi menjadi salah seorang pembawa obor Olimpik sempena majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina, bersama bekas pertahanan Inter Milan dan Itali, Giuseppe Bergomi, yang juga merupakan seteru lamanya di atas padang.

Baresi dianggap legenda AC Milan selepas menghabiskan keseluruhan karier profesionalnya selama 20 tahun bersama kelab itu.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau membantu Milan menjulang enam kejuaraan Serie A dan tiga kejuaraan utama Eropah, selain menjadi kapten pasukan selama 15 musim sebelum bersara pada 1997.

Sebagai penghormatan terhadap sumbangannya, AC Milan membersarakan jersi nombor 6 miliknya sebaik beliau menamatkan karier, menjadikannya pemain pertama dalam sejarah kelab yang menerima penghormatan tersebut.

Di pentas antarabangsa, Baresi merupakan anggota skuad Itali yang menjuarai Piala Dunia 1982 dan kemudian mengetuai pasukan ke pentas final Piala Dunia 1994.

Kesetiaannya terhadap AC Milan terserlah sejak awal karier apabila beliau kekal bersama kelab itu walaupun Milan dua kali tersingkir ke Serie B pada awal 1980-an, sebelum membantu membawa mereka kembali ke saingan divisyen utama pada kedua-dua kesempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button