SPRM reman 12 suspek disyaki godam sistem pas pekerja asing
PUTRAJAYA – Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapat perintah tahanan reman ke atas 12 individu yang ditahan semalam kerana disyaki disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 31 Julai 2026 terhadap lima suspek lelaki dan dua hari sehingga 30 Julai 2026 terhadap lima suspek lelaki serta dua suspek wanita dikeluarkan Majistret, Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, 10 suspek lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara pukul 2 hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah membayar wang rasuah antara RM1,000 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan PLKS kepada pegawai-pegawai JIM kerana telah membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama Bahagian Perisikan, JIM telah menjalankan operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, semalam.
Operasi tersebut turut dibantu oleh Cyber Security Malaysia ( CSM), Telekom Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.
Dalam operasi tersebut, penggeledahan telah dijalankan melibatkan premis-premis syarikat dan juga JIM Pulau Pinang dan ibu pejabat JIM di Putrajaya.
Selain itu, SPRM turut menyita harta alih seperti wang tunai bernilai RM186,360; wang tunai Singapore dollar SGD 700 dan barangan kemas bernilai RM 15,700.
Turut disita telefon bimbit, komputer riba serta alat elektronik yang dianggarkan bernilai RM36,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















