Kawasan Taman Medan dikenal pasti lokasi pembinaan Hospital Petaling Jaya
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor sudah mengenal pasti kawasan Taman Medan sebagai tapak pembinaan Hospital Petaling Jaya bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan padat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini sedang mengusahakan segera proses pengambilan tanah bagi merealisasikan pembinaan hospital berkenaan.
Jelas beliau, Taman Medan dipilih sebagai lokasi utama kerana kepadatan penduduk yang tinggi serta kedudukannya yang lebih strategik berbanding kemudahan kesihatan sedia ada seperti Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Kita dah kenal pasti tapak. Kita akan segera melaksanakan proses pengambilan dan kos yang juga kita sedang negotiate (berunding) dengan pihak terbabit. Kita ada dua tapak tadi. Kita mulakan tapak yang paling accessible (mudah diakses).
“Tapak itu berada dalam kawasan sekitar Taman Medan kerana ia berada dalam kawasan sekitar penduduk yang padat dan akses yang jauh dari institusi kesihatan seperti Hospital Shah alam ataupun PPUM.
“Malah, ia boleh turut memberikan manfaat kepada penduduk di Puchong ataupun di Jalan Klang Lama dan juga di kawasan Subang yang boleh akses terhadap pembangunan kesihatan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian selpas hadir pada majlis pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor, di sini hari ini.
Amirudin turut memberitahu, sebuah lagi tapak alternatif turut dikenal pasti di SS8, Kelana Jaya melibatkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sekiranya terdapat kekangan di lokasi utama.
Kedua-dua tapak berkeluasan antara 10 hingga 15 ekar, namun maklum balas awal Kementerian Kesihatan menunjukkan Taman Medan merupakan lokasi paling sesuai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








