Forest City beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa isu ‘Network School’
ISKANDAR PUTERI – Forest City komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan terhadap operasi ‘Network School’, berikutan timbulnya dakwaan berkaitan kewarganegaraan seorang individu.
Dalam kenyataan, Forest City menegaskan sokongan penuh terhadap pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai pangkalan bagi sebarang ideologi, gerakan, atau aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“Forest City bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan dalam sebarang siasatan.
“Forest City juga komited mengemukakan semua dokumen berkaitan yang diperlukan bagi membantu melancarkan siasatan dan mempercepat proses penentuan fakta secara menyeluruh, tepat serta berkesan,” katanya hari ini.
Forest City turut menegaskan pihaknya mengamalkan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis, ketidakpatuhan peraturan imigresen, mahupun sebarang aktiviti yang boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman awam.
Tambah kenyataan itu, sekiranya pihak berkuasa mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan imigresen, syarat pelesenan, penggunaan tanah atau perjanjian, Forest City akan melaksanakan haknya berdasarkan undang-undang dan kontrak.
“Forest City kekal komited melaksanakan tanggungjawab, pematuhan dan ketelusan selaras dengan undang-undang Malaysia demi memastikan keselamatan komuniti, melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








