Piala Dunia: Mbappe masih berpeluang pertahan Kasut Emas
ARLINGTON – Impian Perancis untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026 mungkin sudah berakhir, namun Kylian Mbappe masih berpeluang mempertahankan gelaran Kasut Emas apabila bakal beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Ahad ini.
Kekalahan 0-2 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir awal pagi tadi tidak menamatkan peluang penyerang berusia 27 tahun itu untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan kerana jaringan dalam aksi penentuan tempat ketiga masih dikira dalam perebutan Kasut Emas.
Perancis dijadual bertemu pasukan yang tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir antara England dan Argentina yang berlangsung awal pagi esok.
Ketika ini, Mbappe berkongsi kedudukan teratas carta penjaring bersama kapten Argentina, Lionel Messi dengan masing-masing meledak lapan gol.
Sekiranya kedua-dua pemain menamatkan kejohanan dengan jumlah jaringan sama, pemenang Kasut Emas akan ditentukan berdasarkan kriteria pemisah yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Mbappe ketika ini memiliki kelebihan dengan tiga bantuan gol berbanding Messi yang mencatatkan dua bantuan jaringan.
Baca juga : Final Piala Dunia bakal tempoh rehat separuh masa 30 minit
Sejarah Piala Dunia turut membuktikan perlawanan penentuan tempat ketiga sering menjadi pentas penting dalam menentukan pemenang Kasut Emas.
Pada Piala Dunia 1938, pemain Brazil, Leonidas muncul penjaring terbanyak selepas meledak dua gol ketika membantu Brazil menewaskan Sweden 4-2 untuk menamatkan kejohanan di tempat ketiga.
Legenda yang terkenal sebagai antara pelopor sepakan gunting itu merangkul Kasut Emas hasil jaringan tersebut.
Pemain Croatia, Davor Suker turut meraih anugerah sama selepas menjaringkan gol ketika membantu negaranya menewaskan Belanda 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga pada Piala Dunia 1998.
Dua lagi pemenang Kasut Emas yang beraksi dalam perlawanan tempat ketiga ialah Miroslav Klose dari Jerman pada 2006 dan Harry Kane dari England pada 2018, namun kedua-duanya gagal menambah koleksi jaringan.
Pada Piala Dunia 2010, Diego Forlan dan Thomas Muller masing-masing menjaringkan gol dalam aksi penentuan tempat ketiga sebelum Muller diumumkan sebagai pemenang Kasut Emas menerusi kelebihan jumlah bantuan gol walaupun empat pemain berkongsi jumlah jaringan sama.
Setakat ini, Mbappe dan Messi mendahului senarai penjaring dengan lapan gol, diikuti Erling Haaland (Norway) dengan tujuh gol, manakala Jude Bellingham dan Harry Kane dari England masing-masing mengumpul enam gol.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








