1.18 juta pelajar IPT bakal terima Baucar Buku MADANI RM100 mulai 15 Julai
PUTRAJAYA – Seramai 1.18 juta pelajar institusi pendidikan T
tinggi (IPT) warganegara Malaysia bakal menerima manfaat menerusi Inisiatif Baucar Buku MADANI tahun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, inisiatif yang diteruskan oleh Kerajaan MADANI itu melibatkan pemberian baucar bernilai RM100 setiap seorang, yang bertujuan meringankan kos pembelian bahan bacaan serta memperluas akses kepada sumber ilmu berkualiti bagi golongan mahasiswa.
“Pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula menebus Baucar Buku MADANI bermula 15 Julai, pada pukul 11 pagi menerusi portal MySiswaPlace, platform digital sehenti kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
“Melalui portal ini, pelajar boleh membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat,” menurut kenyataan daripada KPT.
Bagi memastikan akses kepada bahan bacaan yang menyeluruh, platform MySiswaPlace telah menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar yang terdiri daripada penerbit serta penjual buku tempatan.
Platform itu menawarkan pelbagai kategori bahan bacaan, termasuk buku akademik, rujukan, bahan ilmiah, e-buku, dan penerbitan umum yang direka khusus untuk menyokong aktiviti pembelajaran, penyelidikan, serta pembangunan intelektual mahasiswa.
“Penerusan Inisiatif Baucar Buku MADANI mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Selain membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian, inisiatif ini turut merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara, memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan dan menyokong kelestarian industri ilmu,” menurut KPT.
Sehubungan itu, KPT juga menghargai keprihatinan Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif baucar buku yang memberi manfaat kepada pelajar di semua IPT seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








