KDN jalankan siasatan menyeluruh isu operasi ‘Network School’ di Forest City
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi sebuah institusi pendidikan dikenali sebagai ‘Network School’ di Forest City, susulan kebimbangan orang ramai mengenai dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen, serta dakwaan penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.
“Sehubungan itu, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh,” katanya.
Siasatan itu merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat. Selain itu, pihak berkuasa turut menyemak status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan oleh individu berkenaan bagi memastikan ia menepati syarat yang ditetapkan.
Siasatan ini juga meliputi pemeriksaan terhadap jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan sebenar kemasukan mereka ke Malaysia.
Secara keseluruhannya, tindakan ini dilakukan untuk memastikan tahap pematuhan terhadap syarat-syarat di bawah undang-undang imigresen dan peraturan lain yang berkaitan sentiasa dipatuhi.
KDN turut memberi jaminan bahawa kerjasama rapat sedang dijalankan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak dengan teliti mengikut peruntukan undang-undang.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu, atau apa-apa kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian menambah, Kerajaan MADANI tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam, dan kedaulatan negara.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, serta diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas secara profesional dan telus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








