BERITA SEMASA

Bekalan petroleum negara stabil hingga Disember – Menteri Ekonomi

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal mencukupi sehingga Disember 2026 walaupun pasaran tenaga global kembali berdepan ketidaktentuan susulan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan sedang melaksanakan tiga strategi utama bagi memastikan bekalan petroleum negara terus terjamin, iaitu mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik dan memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.

krisis
Akmal Nasrullah Mohd Nasir. – Foto Facebook Kementerian Ekonomi

Menurut beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran tenaga dunia yang masih berdepan kekangan bekalan fizikal serta penyusutan inventori minyak.

“Bekalan petroleum negara dijamin mencukupi sehingga Disember 2026 menerusi pelaksanaan tiga pendekatan ini,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Krisis Bekalan Global di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, purata harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 5.9 peratus daripada AS$69.82 setong (RM284) kepada AS$73.94 setong (RM300) bagi tempoh 6 hingga 10 Julai.

Katanya, kenaikan itu didorong kebimbangan pasaran selepas serangan terbaharu Amerika Syarikat terhadap Iran yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan serta risiko gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.

Selain itu, purata harga gas asli cecair (LNG) turut meningkat 7.9 peratus kepada AS$17.31 (RM70) berikutan tindakan negara-negara pengguna mengisi semula stok simpanan.

Ketegangan di Asia Barat kembali memuncak selepas Amerika Syarikat dan Iran saling melancarkan serangan sejak 8 Julai lalu.

Susulan perkembangan itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan penutupan Selat Hormuz, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan semula rantaian bekalan petroleum global.

Bagaimanapun, Akmal berkata harga arang batu kekal stabil sekitar AS$129 setan (RM524), disokong permintaan sederhana dari China dan India selain peningkatan pengeluaran serta inventori domestik di kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan permintaan puncak elektrik di Semenanjung Malaysia meningkat 2.5 peratus kepada 20,832 megawatt bagi tempoh 6 hingga 11 Julai, namun masih berada pada paras selamat dalam margin rizab bekalan elektrik negara.

“Peningkatan permintaan ini masih terkawal dan tidak menjejaskan kestabilan bekalan elektrik negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button