BERITA SEMASA

DBKL sita 11 gerai dikendali warga asing dalam operasi bersepadu di Selayang

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 11 gerai yang didapati beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan warga asing dalam Operasi Bersepadu Tebah (Aktiviti Perniagaan Kendalian Warga Asing) di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang, di sini.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu bermula pada pukul 9 malam Sabtu dan berakhir kira-kira pukul 1 pagi Ahad.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan membabitkan jualan buah-buahan, sayur-sayuran, barangan basah, barangan am serta lain-lain yang didapati beroperasi tanpa lesen, dikendalikan warga asing, menghalang laluan awam atau melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

“Hasil operasi, DBKL mengambil 11 tindakan sita dan pemindahan barangan serta peralatan perniagaan terhadap penjaja tanpa lesen yang dikendalikan warga asing.

“Selain itu, empat notis kompaun turut dikeluarkan kepada penjaja tempatan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran yang sah,” kata DBKL.

Semua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

Tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

Dalam operasi sama, PDRM dan MPS turut menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja warga asing yang mengendalikan atau membantu operasi di premis-premis perniagaan terbabit.

DBKL memaklumkan operasi bersepadu itu berjalan lancar dan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button