Kemenangan besar BN amanah rakyat, perlu kerja lebih kuat – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sebagai amanah untuk berkhidmat dengan lebih gigih kepada rakyat, bukannya alasan untuk berasa selesa atau bermegah dengan kejayaan yang diraih.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mandat besar yang diberikan oleh rakyat Johor menuntut seluruh kepimpinan dan jentera BN supaya terus merendah diri serta memperkukuhkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor atas mandat dan kepercayaan yang diberikan. Insya-Allah, BN akan terus membuktikan bahawa setiap kepercayaan yang diberikan akan dibalas dengan kerja keras, khidmat yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi rakyat.
“Dalam kemenangan ini, kita harus lebih merendah diri. Dengan mandat yang diberikan, kita mesti bekerja lebih kuat dan lebih keras untuk rakyat. Tiada masa untuk mendabik dada, jauh sekali merasa selesa.
“Kemenangan ini adalah amanah besar yang wajib dipikul dan ditunaikan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO dan BN di setiap peringkat yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen, termasuk jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, selain jentera bahagian, cawangan, petugas serta sukarelawan.
Menurutnya, pengorbanan mereka yang sanggup berdepan cuaca panas dan hujan, mengorbankan masa bersama keluarga serta mengetepikan penat lelah menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kemenangan BN.
“Saya sendiri menyaksikan kesungguhan dan pengorbanan sahabat-sahabat di lapangan. Panas dan hujan ditempuh, masa bersama keluarga dikorbankan, penat dan lelah diketepikan, semuanya demi satu tekad untuk memastikan kestabilan dikekalkan dan kemajuan Johor dapat diteruskan.
“Terima kasih dan penghargaan khusus kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan, keyakinan dan bersama seluruh jentera sepanjang menghadapi pilihan raya ini.
“Begitu juga kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas kepimpinan dan kesungguhan membawa agenda kemajuan negeri serta menyantuni Bangsa Johor tanpa mengenal penat dan lelah.
“Juga terima kasih buat seluruh jentera BN termasuk yang berkampung di Johor dan datang dari seluruh pelosok negara bagi memastikan kemenangan yang amat bermakna buat BN dalam PRN Johor ini. Kalianlah wira dan wirawati di sebalik kemenangan ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















