Pemimpin mesti berani buat keputusan demi rakyat – PM
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan seseorang pemimpin perlu berani membuat keputusan demi kepentingan rakyat kerana sikap takut atau ragu-ragu hanya akan menghalang usaha membangunkan negeri dan negara.
Beliau berkata, keberanian itu menjadi asas kepada pelaksanaan dasar kerajaan termasuk penyediaan lebih banyak rumah mampu milik di atas tanah kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Tanah kerajaan kalau ada, saya tak izinkan mereka untuk bangunkan rumah rakyat. Itu dasar kerajaan. Pemimpin mesti ada keberanian. Kalau hendak memimpin, mesti ada keberanian. Kalau takut, tidak boleh pimpin negeri dan negara ini,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Johor ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang di sini malam ini.
Baca juga : Skandal 1MDB pengajaran besar, rakyat perlu hukum pihak gagal insaf – Anwar
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan telah membuktikan komitmen itu apabila kira-kira 10,000 unit rumah rakyat baharu dibina di Kuala Lumpur sebagai sebahagian usaha membantu golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, kejayaan itu mampu diperluaskan ke negeri-negeri lain sekiranya kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dasar perumahan untuk rakyat.
Beliau turut menyentuh usaha kerajaan membantu institusi pendidikan termasuk permohonan berkaitan pengecualian cukai yang perlu melalui proses penilaian dan pelaporan bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara telus.
Katanya, kerajaan tidak pernah menolak cadangan yang memberi manfaat kepada pendidikan tanpa mengira kaum, sebaliknya setiap permohonan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum dipertimbangkan.
“Kalau untuk pendidikan, saya akan sokong. Tidak ada masalah. Bincang baik-baik. Jangan gunakan isu itu ketika pilihan raya hendak jadi hero. Sudah 10 tahun memerintah, tidak selesai. Bila kita hendak buat, bincanglah dengan baik,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan hari ini mempunyai iltizam untuk menyelesaikan pelbagai isu yang tertangguh daripada pentadbiran terdahulu, namun pelaksanaannya perlu dibuat mengikut proses serta keutamaan semasa.
Beliau berkata, kepimpinan yang berani membuat keputusan, mengutamakan kepentingan rakyat dan melaksanakan dasar secara telus adalah kunci kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















