Tun M sambut ulang tahun kelahiran ke-101
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101, sekali gus mencatat satu lagi pencapaian luar biasa sebagai tokoh politik paling lama berkhidmat dan berpengaruh dalam sejarah negara.
Ucapan tahniah dan doa daripada pelbagai pihak mula membanjiri media sosial sejak awal pagi bagi mendoakan agar negarawan itu terus dikurniakan kesihatan yang baik.
Dr Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah, pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia selama dua penggal iaitu dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi pada 2018 hingga 2020, menjadikannya antara pemimpin kerajaan tertua di dunia ketika memegang jawatan itu.
Sepanjang lebih empat dekad dalam arena politik, beliau memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negara menerusi pelbagai dasar termasuk Wawasan 2020, selain menyelia pelaksanaan projek-projek mega yang menjadi mercu tanda pembangunan Malaysia.
Walaupun telah melepasi usia satu abad, Dr Mahathir masih aktif menghadiri program awam, menyampaikan pandangan mengenai isu semasa serta berkongsi pandangan melalui penulisan dan media sosial.
Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-101, ramai rakyat Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam membentuk landskap pembangunan serta politik negara.
“Sanah helwah Tun Dr Mahathir. Panjang umur bertambah sihat dan jadi bapa pembangunan yang terbilang. Semoga Allah pelihara Tun dalam rahmat-Nya,” komen Sharifah Fatimah Syed Isa.
“Alhamdulillah Tun. Berkatnya. Allah sayang hamba-Nya yang baik,” tulis Kucing Oren pula.
“Selamat Hari Lahir ke-101. Semoga Tun diberi kesihatan dan kekuatan untuk memberi nasihat dan teguran. Thank you very much Tun for taking care of Malaysia for over 60+ years,” ucap Sham Rizal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















